Friday, November 7, 2008

Kisah Pemuda Yang Mabuk Dan Seekor Kala Jengking

Yusof bin Husain meriwayatkan: "Pada suatu hari saya pernah berada di tepi sebuah pantai bersama Zun Nun. Di tepi pantai itu kami berdua sempat menyaksikan seekor jengking yang besarnya melebihi jengking biasa. Tiba-tiba datang pula seekor katak yang mendekati jengking tersebut, lalu jengking itu naik ke atas punggung katak dan kemudiannya katak itu berenang menuju ke suatu tempat. Melihat keadaan yang demikian itu, Zun Nun berkata, "pasti jengking itu mempunyai tujuan tertentu, mari kita sama-sama saksikan!" Kami pun lalu mengikuti ke mana perjalanan kedua binatang itu.

Dalam perjalan tersebut, secara tak sengaja kami menjumpai seorang pemuda yang dalam keadaan mabuk sedang tertidur. Beberapa saat kemudian, datanglah seekor ular yang merayap di atas pusat hingga ke dada pemuda itu. Melihat keadaan demikian, jengking yang dibawa berenang oleh seekor katak tadi lalu menyengat ular itu sehingga mati. Setelah ular yang akan menggigit pemuda itu mati, jengking kembali menuju ke tepi pantai, lalu datanglah katak menjemputnya dan pergilah kedua makhluk itu.

Melihat keadaan yg demikian, Zun Nun lalu membangunkan pemuda yg dalam keadaan mabuk tersebut. Zun Nun berkata, "Wahai pemuda, lihatlah apa yang sedang dilakukan Allah SWT untuk menyelamatkan dirimu! Seekor jengking telah datang lalu dia telah membunuh ular yang hendak mematukmu!" Kemudian Zun Nun membacakan sebuah syair :

Wahai orang yang lupa Yang sentiasa dijaga oleh Zat Yang Maha Agung dari kejahatan yang kamu lakukan dalam kegelapan bagaimana mungkin kamu dapat memejamkan mata dari Zat Yang Maha Pencipta yang telah memberikan kepadamu pelbagai macam kenikmatan.


Mendengar ungkapan syair yang dibacakan oleh Zun Nun itu, pemuda tersebut bangun lalu berkata, "Tuhanku, Engkau telah melakukan sesuatu kepada hamba-Mu yang derhaka ini, lalu bagaimana pula kasih dan sayang yang Engkau berikan kepada orang yang taat kepada-Mu?" Setelah berkata demikian, pemuda itu lalu ingin pergi meninggalkan kami, kemudian aku bertanya, "Hendak ke manakah kamu?"
Pemuda itu menjawab, "Aku akan pergi ke gurun sahara, aku akan bertaubat kepada Allah SWT, demi Allah SWT aku tidak akan mengulangi perbuatan burukku itu lagi."


Dipetik dari buku "Kisah-kisah Insan Bertaubat" ... semoga kita semua beroleh manfaat...

0 comments: